KUALA LUMPUR – Sebanyak 91 laporan polis dibuat terhadap pengendali laman sosial Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung hantarannya yang didapati menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah laporan diterima tersebut meliputi seluruh negara sehingga semalam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Fuzi dalam kenyataan tersebut turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga kesejahteraan masyarakat.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam media sosial.
Malah, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun menyiasat kes tersebut dengan segara dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membawa pelaku jenayah ke muka pengadilan. – UTUSAN ONLINE