ANTWERP – KETIKA golongan usahawan dan ahli politik masih berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan dan potensi risiko akibat rundingan Brexit yang belum selesai, kumpulan pengurusan dan penjaga zoo juga turut berasa bimbang.
Kebimbangan itu antara lain melibatkan sekumpulan okapi, iaitu spesies haiwan dari keluarga zirafah yang semakin jarang ditemui.
Sejumlah 73 ekor okapi, iaitu spesies terancam yang berasal dari Republik Demokratik Congo, tinggal dalam jagaan zoo di Kesatuan Eropah (EU), di mana peraturan mengenai pergerakan bebas antara negara selama ini menyokong projek pembiakan haiwan itu.
Menurut Ketua Kurator Zoo Antwerp di Belgium, Sander Hofman, sekiranya Britain, yang mempunyai 15 ekor haiwan itu, keluar dari blok EU tanpa perjanjian lengkap, ia akan menjejaskan kesalinghubungan dalam projek tersebut.
Hofman bertanggungjawab dalam menyelaraskan pemindahan okapi untuk tujuan pembiakan.
“Brexit adalah berita buruk bagi usaha konservasi dan pembiakan.
“Sejumlah 15 daripada 73 ekor okapi berada dalam United Kingdom. Anda boleh bayangkan, jika saya terpaksa memindahkan 15 ekor okapi ini, ia akan menjadi tamparan hebat pada populasi yang diusahakan di sini, dan bagi negara-negara EU lain, ia menjadi lebih teruk,” ujarnya.
Dalam Kesatuan Eropah, sekitar 350 buah zoo adalah di bawah naungan Persatuan Zoo dan Akuarium Eropah (EAZA), yang membenarkan pemindahan haiwan antara negara-negara EU bagi tujuan pembiakan.
Britain pula mempunyai 40 buah zoo dalam persatuan itu, termasuk Chester yang merupakan zoo terbesar di Eropah.
Namun, EAZA menasihatkan pihak pengurusan zoo supaya segera memindahkan haiwan yang perlu keluar atau masuk ke Britain, sekiranya Brexit tanpa perjanjian menyeluruh diputuskan.
Perdana Menteri Britain, Theresa May kini memperjuangkan versi perjanjian Brexit yang lebih ringkas di Parlimen dalam usaha mendapatkan sokongan majoriti.
Di Britain, bukan hanya spesies okapi yang terjejas dengan situasi semasa. Menurut Hofman, gajah juga berdepan nasib tidak menentu.
“Sangat sukar untuk merancang pengangkutan dan pemindahan gajah. Anda boleh bayangkan bagaimana sukarnya nanti apabila anda sendiri tidak tahu kertas kerja apa yang perlu disiapkan, atau pelabuhan mana yang perlu dituju,” keluhnya. – Agensi