KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan bahawa senarai kadar tambahan bagi bayaran bagasi oleh syarikat penerbangan itu yang tular dalam media sosial adalah tidak betul.
MAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, bahawa kadar bagasi tambahan (pra bayar) masih berlandaskan kepada tanda aras industri dan berdaya saing dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain.
“Terdapat dua jenis kadar bagasi, satu untuk bagasi tambahan (pra bayar) dan satu lagi untuk bagasi berlebihan. Bagi bagasi berlebihan yang dibayar semasa daftar masuk di lapangan terbang, kadarnya tetap sama.
“Kadar untuk bagasi tambahan (prabayar) adalah dinamik bergantung kepada sektor, promosi, permintaan dan sebagainya. Penumpang bagaimanapun dapat mengetahui kadar tersebut semasa membuat tempahan melalui “my booking” atau semasa aliran tempahan,” kata MAS dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.
Pada masa ini, senarai caj untuk tambahan bayaran bagasi untuk Ekonomi Lite untuk MAS tanpa sebarang elaun bagasi telah tular menerusi media sosial.