KUALA LUMPUR – Laporan kewangan penuh berhubung dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dibentangkan pada Jun atau Julai ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pengumuman itu lewat diumumkan kerana proses audit sedang dijalankan.
“Kita belum putuskan lagi tindakan tapi jawapan pendek dan sidang akhbar akan diadakan lusa Khamis ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Menurut laporan Awani pada malam Ahad lalu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dalam ceramahnya di Rantau, Negeri Sembilan memberitahu, laporan audit yang diisytihar ke atas LTAT tahun lalu adalah satu pembohongan.
“Audit yang diisytihar tahun 2018 dulu bohong. Siapa dalam tabung angkatan tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.
“Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu,” katanya.
Walau bagaimanapun dalam kenyataan semalam, Presiden Parti Amanah Negara itu menafikan laporan yang dimaksudkan itu adalah laporan audit, sebaliknya laporan kewangan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya sebenarnya memaksudkan laporan kewangan LTAT, dan bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan media,”
Pada Mac lalu, Mohamad berkata, pengumuman dividen LTAT masih belum dibuat kerana terdapatnya masalah pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. – UTUSAN ONLINE