REMBAU – Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin menyangka rakyat boleh terus dibohongi sehingga mereka tidak serik menabur pelbagai janji kosong.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, sebagai contoh, PH sanggup menjanjikan jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) masuk ke Negeri Sembilan kerana ada pilihan raya kecil (PRK) di Rantau ketika ini.
“Mereka tak serik bercakap bohong dalam keadaan rakyat melihat janji mansuh PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan turunkan harga minyak belum dilaksanakan.
“Pakatan Harapan sudah tak malu lagi sampai mereka nak buat ECRL yang dibatalkan sebelum ini kononnya nak disambung ke Negeri Sembilan kerana ada PRK Rantau.
“Tak pernah ada parti politik dalam negara kita sejak merdeka yang berani membohongi rakyat semata-mata untuk dapatkan kuasa. Agaknya mereka percaya rakyat boleh di ditipu sepanjang masa,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Sepentas Muafakat Rakyat di Taman Kelab Tuanku di sini malam tadi.
Yang turut hadir Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menurut Annuar lagi, kerajaan PH terbukti gagal sejak 10 bulan lalu apabila merosakkan perpaduan dan kemajuan yang dibina selama ini semasa negara ditadbir oleh BN. – MediaUMNO