KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kos baharu pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang kini bernilai RM44 bilion membuktikan projek pengangkutan tersebut tidak digunakan untuk menyelamatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan dakwaan kerajaan PH sebelum ini yang projek itu boleh dibina dengan kos RM29 bilion berbanding RM65 bilion dan bakinya adalah digunakan untuk 1MDB adalah tidak benar sama sekali.
“Pertamanya saya alu-alukan keputusan kerajaan PH untuk teruskan projek ECRL dan saya ada beberapa pemerhatian bermula dengan harga yang dikatakan bernilai RM44 bilion tetapi ini melibatkan pengurangan stesen dan memansuhkan pembinaan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa.
“Inii menunjukkan dakwaan bahawa kos ECRL bahawa hanya RM29 bilion dan kononnya RM26 bilion untuk selamatkan 1MDB adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Kerajaan PH mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini telah dikurangkan kepada RM44 bilion, satu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.
Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.
Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan PH berikutan membabitkan kos yang tinggi.
Dalam pada itu, Najib berkata, dengan laluan baharu yan mengelak daripada laluan Bentong dan Banjaran Titiwangsa menunjukkan matlamat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru, Kelantan dalam tempoh empat jam tidak dicapai.
“Dengan laluan itu, penumpang terpaksa gunakan stesen hub di Putrajaya dan laluannya ke selatan dan utara menyebabkan tempoh perjalanan bertambah satu atau dua jam lagi. Jadi sudah menghampiri tempoh masa menggunakan kenderaan kereta, tak ada kelebihan gunakan ECRL,” katanya.
Berhubung cadangan China terlibat dalam pengurusan ECRL, Ahli Parlimen Pekan berpendapat ia satu yang tidak wajar kerana projek itu adalah pengangkutan dalaman negara selain rakyat Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengendalikan keseluruhan sistem tersebut.
“Lagipun kita ada kelebihan seperti pihak Prasarana yang diberi kontrak Arab Saudi untuk mengendalikan sistem Metro antara Mina dan Mudzalifah, jadi saya tidak nampak dimana perlunya ada penyertaan negara asing mengendalikan sistem itu.
“Ia juga melibatkan soal keselamatan kerana butir-butir dalaman negara akan diketahui pihak luar,” katanya.