GUA MUSANG – Negara bakal berdepan inflasi yang lebih buruk jika kerajaan tidak mengambil tindakan berkesan untuk memulihkan ekonomi negara.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keadaan itu berdasarkan situasi semasa ekonomi negara menyebabkan ramai rakyat hilang pekerjaan, kos sara hidup meningkat, banyak kedai dan syarikat ditutup serta nilai mata wang jatuh ke paras terendah.
Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil langkah drastik bagi menangani masalah itu supaya perkara tersebut tidak berlarutan.
“Pakar ekonomi juga menyatakan negara bakal menghadapi inflasi dan rakyat turut merasainya.
“Inflasi ini maknanya jika kita buat apa pun keadaan ekonomi tak akan berkembang. Macam negara Jepun, mereka mengalami inflasi berbelas-belas tahun.
“Jepun negara kaya tak apalah, tetapi kita tak boleh mengalami keadaan seperti negara itu dan saya bimbang keselamatan juga akan tergugat,” katanya selepas majlis prapelancaran Festival Galas 2019 di Dataran Kesedar Putra, Bandar Baru, Gua Musang, malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.
Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyuarakan rasa kurang senang hati dengan bebanan hidup rakyat akibat kos sara hidup tinggi.
Beliau mahu kerajaan PH mengambil pendekatan memperbaiki kehidupan rakyat dan tidak terus mencetuskan polemik yang menakutkan.
Tambahnya, rakyat sudah mula menunjukkan kekecewaan mereka kerana janji-janji tidak ditunaikan dan seolah-olah diperlekehkan kerajaan sekarang.
“Rakyat susah kerana kos sara hidup semakin tinggi berikutan harga barang naik, pendapatan kurang, barangan import dan barangan buatan dalam negara juga naik harga.
“Walaupun dihapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun mereka masih menangung bebanan kehidupan kerana kenaikan harga barang keperluan,” katanya. – K! ONLINE