PAS tidak akan menurunkan calon pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini, tetapi akan menyokong calon daripada parti pembangkang yang akan bertanding menentang Pakatan Harapan.
Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkata, PAS Sabah dan Sandakan akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat untuk membantu calon pembangkang.
Katanya, parti Islam itu berharap PRK Sandakan mampu mengukuhkan blok pembangkang kerana kerusi Parlimen itu pernah dimenangi BN.
“Kemenangan calon pembangkang nanti sudah pasti akan menjadikan proses semak dan imbang dalam Parlimen lebih efektif demi kebaikan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penamaan calon bagi PRK Sandakan akan diadakan pada 27 April ini.
PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO tidak akan menurunkan calon, tetapi bersedia membantu calon pembangkang yang berhasrat bertanding.
Ahad lalu, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, BN akan mengadakan rundingan dalam minggu ini untuk memutuskan sama ada ia akan menurunkan calon kerana kerusi itu diwakili parti komponen Sabah, iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) sebelum ini, tetapi ia sudah meninggalkan BN. – FMT