BEBERAPA peniaga yang beroperasi di tepi Pasar Borong Selayang di sini, kecewa apabila Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita barang jualan mereka tanpa notis dalam operasi, malam kelmarin.
Perbincangan peniaga dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit turut kecoh apabila mereka meminta penjelasan daripada pihak berkenaan berhubung tindakan sitaan itu.
Peniaga, Firdaus Salleh, 32, berkata, pihak peniaga dan MPS bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah berbincang sebelum ini termasuk soal permohonan permit untuk berniaga di kawasan itu.
“Isu tapak bukan perkara baru. Sebelum ini, kami merujuk kepada DBKL untuk permohonan permit namun dimaklumkan kawasan tapak gerai ini di bawah pengurusan MPS.
“Proses penukaran status tapak ini membuatkan permohonan permit kami tertunda. Sebelum ini pihak berkenaan mengadakan perbincangan kononnya mahu mengeluarkan notis terlebih dulu sebelum ambil tindakan.
“Sebaliknya pula berlaku malam ini (kelmarin) apabila gerai kami ditutup, manakala barang jualan disita tanpa notis,” katanya.
Dalam operasi bermula jam 9 malam kelmarin, beberapa gerai buah, sayur dan ikan ditutup, selain barang jualan turut dirampas selepas didapati tidak memiliki permit.
Ada peniaga warga asing yang melarikan diri sebaik melihat anggota penguat kuasa membuat serbuan.
Peniaga lain, Rudi Hartono Muhamiruddin, 47, berkata, dia tidak berpuas hati terhadap tindakan dikenakan sambil mendakwa MPS dan DBKL seolah-olah bermain ‘tarik tali’ dalam isu status tapak di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini, lokasi ini dikatakan di bawah pengurusan DBKL namun kemudian dimaklumkan status itu ditukar kepada (pengurusan) MPS.
“Kami (peniaga) berbincang dengan kedua-dua pihak terbabit untuk permohonan permit dan kebenaran untuk berniaga di lokasi ini.
“Namun sehingga kini masalah (status tapak) masih menjadi tanda tanya hingga menyukarkan kami melaksanakan permohonan permit,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr. Juhari Ahmad berkata, pemeriksaan mendapati gerai berkenaan beroperasi tanpa permit.
“Ada juga beberapa penjaja warga asing melarikan diri dan meninggalkan barang jualan mereka.
“Pada masa sama, beberapa peniaga mencetuskan provokasi dengan mendakwa mereka mempunyai surat kebenaran berniaga di lokasi berkenaan namun pemeriksaan mendapati mereka tiada permit,” katanya.
Operasi itu disertai lebih 100 anggota penguat kuasa MPS, DBKL, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). – myMetro Online