GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat terlebih dahulu berhubung penahanan seorang pegawai dan enam anggota polis di Pahang membabitkan siasatan kes rasuah atas kesalahan penyalahgunaan dadah pada 23 April lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan memberi bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat lengkap.
“Tindakan jabatan perlu berasaskan laporan yang dikemukakan oleh pihak SPRM berhubung salah laku yang didakwa membabitkan pegawai dan anggota PDRM itu.
“Sekiranya, terdapat penglibatan mereka kita akan menjalankan siasatan terlebih dahulu bagi memberi peluang kepada mereka selain tidak mahu membuat tindakan secara melulu.”
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Program Lawatan Hospital Sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 di Hospital Selayang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, setiap tindakan mesti berasaskan peraturan yang ditetapkan kerana pihaknya harus mendapatkan bukti sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Siasatan ini perlu dibuat untuk mendapatkan kesahihan dakwaan terbabit bagi memastikan benar atau tidak dakwaan tersebut.
“Siasatan kini sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sebelum tindakan susulan dibuat,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penahanan pegawai dan anggota berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Lans Koperal serta Koperal berusia antara 28 hingga 53 tahun di Ibu Pejabat SPRM negeri, dekat Indera Mahkota, Pahang.
Semua pegawai dan anggota polis itu dikatakan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM6,500 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki dadah jenis syabu. – K! ONLINE