PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa usaha meningkatkan tahap pendidikan di kalangan pelajar Orang Asli masih menjadi agenda utama Kerajaan.
Dr. Mahathir berkata, usaha itu perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak dalam penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan kempen kesedaran kepentingan pendidikan.
“Percayalah, bidang pendidikan bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan seseorang, tetapi ia juga dapat membantu kita untuk meningkat keyakinan diri serta menghapus sikap rendah diri.
“Pendidikan juga membolehkan kita bersaing setanding dengan masyarakat lain,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, ketika ini, sebanyak 1,090 pelajar Orang Asli sedang menuntut di Universiti Awam (UA) dalam pelbagai jurusan selain terdapat golongan berkenaan yang telah berjaya menyambung pengajian ke luar negara.
“Jumlah ini memberi isyarat kepada kerajaan bahawa Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan. Oleh itu, kerajaan akan terus memastikan agar sasaran golongan itu menerima pendidikan secara formal dicapai.
“Bagi tujuan itu, kerajaan akan terus membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Setiap cadangan penambahbaikan juga akan dipertimbangkan,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan merancang untuk menaik taraf serta memperkasakan Jakoa agar jabatan itu lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab memaju, menaik taraf serta menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli.
Sementara itu katanya, penganjuran konvensyen berkenaan bertujuan untuk berbincang dan membahas mengenai isu-isu utama berkaitan masyarakat Orang Asli seperti tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastuktur dan kebudayaan.
“Perbincangan dalam konvensyen ini diharapkan dapat menghasilkan resolusi terbaik yang akan dijadikan garis panduan kepada Kerajaan dalam merangka program-program pembangunan dan juga kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Pembabitan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam isu ini seperti batin dan penghulu adalah secara langsung memberi kita peluang membincang perkara yang mungkin dahulu kita ketepikan kerana agak sulit dan kompleks,” katanya.
Dalam pada itu, wakil tok batin, Mohamad Nohing ketika berucap mewakili masyarakat Orang Asli berharap, kerajaan dapat menyelesaikan isu tanah adat kerana perkara berkenaan telah berlarutan sekian lama.
“Tanah ini, adalah seperti nyawa kami untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga kami. Kami tidak ada apa-apa harta selain tanah adat selain cucuk tanam dengan mencari sumber di hutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE