KUALA LUMPUR – Masih belum ada sebarang tangkapan dilakukan terhadap pengendali akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ berhubung hantaran yang didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya juga telah memohon bantuan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) namun sehingga kini pengendali akaun Facebook tersebut masih belum berjaya dikesan.
“Kami telah ambil segala tindakan, laporan polis juga dibuat dan kami juga ada mohon pihak SKMM untuk bantu kesan pemilik Facebook tersebut dan akaun tersebut juga telah disekat. Kita perlu tahu operasi Facebook ini bukan saja domestik tetapi di luar negara juga, jadi kita perlu bantuan dari negara luar untuk kesan pengendali akaun Facebook tersebut.
“Kami sudah rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, ada arahan-arahan tertentu diberikan kepada dan kami telah ambil tindakan sewajarnya berhubung arahan-arahan yang telah diberikan itu. Cuma malangnya sampai ketika ini, belum ada tangkapan sebab pihak SKMM pun tidak dapat mengenal pasti pengendali akaun Facebook tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Sebelum ini pelbagai pihak telah membuat laporan polis terhadap pengendali akaun Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang disifatkan biadab serta dianggap sebagai perbuatan provokasi melampau yang boleh mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian negara.
Sementara itu, Mohamad Fuzi menafikan bahawa pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes-kes yang berkaitan hasutan di media-media sosial.
“Saya rasa tiada kes yang kami tidak ambil tindakan berkaitan dengan sosial media ini, semua tindakan telah diambil cuma mungkin ada salah faham sedikit, mungkin kita tidak kemas kini laporan-laporan dan siasatan-siasatan yang dibuat.
“Macam kes akaun Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong tersebut, kita telah ambil segala tindakan. Tak tepat sama sekali kata kita tidak ambil tindakan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE