SHAH ALAM – Tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir yang cuba menutup kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan cuba menggunakan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan jihad untuk melawan kerajaan anti Islam dibidas Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Sambil menjelaskan kepada Akmal, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, jihad dalam Islam yang benar ialah melakukan sesuatu perkara secara bersungguh-sungguh bukannya berperang.
“Naratif yang cuba dibawa Akmal ini hanya cuba menutup kelemahan yang ada. Rakyat kini sebenarnya sedang resah dengan kerajaan PH yang kononnya melakukan sesuatu secara rendah diri tetapi sebenarnya angkuh dan bongkak sehingga membebankan rakyat.
“Contohnya dahulu mengatakan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membebankan, namun akhirnya dengan bongkak mengatakan sistem ini mendisiplinkan rakyat malah menambahnya lagi.
“UMNO dan PAS hanya menyuarakan suara rakyat dan kita hanya membawa apa diinginkan denyut nadi rakyat. Tetapi, inilah yang digeruni Akmal dan rakan-rakannya,” katanya dalam Wacana Sinar: PAS-UMNO Bergabung: Apakah Kesan Demografi Politik di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE