PUTRAJAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pernah mengarahkan agar siasatan berhubung penemuan kem penempatan sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) di Wang Kelian, Perlis pada 2015 ditangguhkan seketika.
Bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Zul Aznam Haron berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau menerusi satu panggilan telefon sejurus menerima laporan penemuan kem berkenaan.
“Saya telah menghubungi beliau pada 20 Januari 2015 untuk memberitahu terdapat kewujudan kem berkenaan dan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta struktur binaan seakan kubur.
“Beliau kemudian kata tangguh dahulu sebab ia memerlukan kesediaan dan penelitian begitu tinggi kerana kesannya pada negara serta ia melibatkan warga asing,” katanya pada pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini, hari ini.
Saksi RCI ke-16 itu kemudian menambah, pihaknya kemudian tidak menerima sebarang arahan daripada pihak atasan dan beliau menganggap kes itu dikendalikan oleh Bukit Aman.
Katanya lagi, pasukan elit 69 Komando (VAT 69) kemudian dihantar pada Mac tahun sama ke kawasan sempadan Perlis bagi melakukan tinjauan awal dan pemetaan bagi menjejaki jika wujud lagi kem penempatan PATI. – UTUSAN ONLINE