LARIAN seorang pelajar yang menyertai acara 100 meter di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 (MSSM) menjadi bualan hangat para netizen di laman Facebook.
Menerusi video yang dimuat naik Team Malaysia di laman Facebook, larian remaja yang baru sahaja berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi cukup pantas meninggalkan peserta yang lain.
Atlet muda yang berasal Perak itu berjaya mencatatkan larian 10.63 saat (s).
Nama atlet muda tersebut sebenarnya tidak asing lagi di dunia pecut.
Sebelum ini, beliau memecahkan dua rekod temasya pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2019 di Kompleks Sukan Ilagan di Bandar Ilagan, Filipina pada 3 Mac lalu.
Digelar “Putera Pecut” ASEAN, beliau meraih pingat emas acara 100 meter (m) dengan mencatat rekod baharu kejohanan iaitu 10.63s sekali gus merupakan catatan terbaharu rekod kebangsaan di bawah 15 tahun. – Astro Awani