KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini dalam suasana berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi China esok.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.1100/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua perdagangan dan strategi pemasaran SPI Asset Management Stephen Innes berkata, para pelabur asing terus mengeluarkan dana daripada pasaran tempatan sementara mereka menunggu pengesahan selanjutnya mengenai pemulihan ekonomi China.
“Peniaga mata wang sedang menunggu pengeluaran data berkenaan yang akan menjadi pemacu utama pasaran mata wang dalam tempoh terdekat,” katanya.
Ringgit juga rendah berbanding mata wang utama yang lain.
Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0388/0430 daripada 3.0347/0393 dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.6990/7049 daripada 3.6939/6987.
Ringgit jatuh berbanding pound British kepada 5.3825/3894 daripada 5.3673/3755 dan susut berbanding euro kepada 4.6340/6401 daripada 4.6292/6361.