KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkenaan isu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah membuat keputusan jelas berhubung perkara tersebut.
Manakan tidak, kenyataan Saifuddin itu seolah-olah menunjukkan beliau dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mahu memperjuangkan ratifikasi Statut Rom walaupun mendapat tentangan daripada rakyat dan pihak pembangkang.
Perkara itu menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan yang Saifuddin masih mempunyai niat untuk meratifikasi Statut Rom dan seperti dipaksa menjadi jurucakap perkara tersebut.
“Saifuddin masih bercakap mengenai ratifikasi Statut Rom sedangkan mesyuarat Kabinet telah memutuskan untuk membatalkan perkara ini. Tindakan beliau jelas membelakangkan keputusan Kabinet dan tidak menghormati Perdana Menteri.
“Kenyataan Saifuddin yang terbaharu juga menunjukkan mereka ini masih mempunyai niat jahat terhadap institusi raja-raja Melayu. Saifuddin tidak bercakap benar dalam Dewan Rakyat tentang kegagalan membawa Statut Rom ke mesyuarat Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan Saifuddin ketika menjawab dan menggulung perbahasan dalam Dewan Rakyat tidak memberi jawapan jelas seolah-olah ingin menyembunyikan agenda sebenar kerajaan berhubung isu Statut Rom.
Katanya, di atas kegagalan menjawab serta menyembunyikan fakta sebenar kepada Dewan Rakyat, pihak pembangkang telah mengemukakan usul potong gaji terhadap Saifuddin.