KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menyempurnakan pelancaran buku dokumentasi keturunan Bapa Sastera Melayu Moden negara, Munshi Abdullah Sheikh Abdul Kadir, semalam.
Baginda yang berangkat tiba di sebuah hotel di ibu negara pada kira-kira jam 2.30 petang semalam, disambut oleh penulis buku itu, Datuk Siti Saleha Sheikh Abu Bakar.
Buku dokumentasi setebal 200 muka surat itu mengisahkan salasilah tujuh generasi keluarga penulis yang bermula kisah kehidupan moyangnya yang berasal dari Hadhramaut (kini dikenali sebagai Yaman) pada abad ke-16.
Selain memaparkan kisah kehidupan Munshi Abdullah, naskah itu turut mengupas kejayaan anak Abdullah, Muhammad Ibrahim yang dikenali sebagai ‘Father of Malay Education Johor’ ketika akhir abad ke-19.
Siti Saleha berkata, dia mengambil masa selama hampir tujuh tahun untuk menyiapkan buku berkenaan kerana kekangan masa.
“Saya membuat kajian menerusi buku berkaitan Munshi Abdullah selain mendapatkan beberapa buku terjemahan karya penulisan moyang (Munshi Abdullah) dari luar negara dan membuat rujukan jurnal,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini.
Bekas hakim itu berkata, buku berkenaan tidak akan dijual secara komersial sebaliknya akan diedarkan ke perpustakaan dan sekolah sekitar Johor.
Katanya, buku itu antara lain turut memuatkan kisah mengenai zaman kegemilangan Kesultanan Negeri Johor di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar dan Sultan Ibrahim.