KOTA TINGGI – Polis mengesahkan berlakunya satu kebakaran kecil di salah satu lot tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang di sini awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 1.25 pagi.
“Setakat ini disahkan dua pekerja warga tempatan mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan Rapid.
“Kebakaran yang berlaku telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.15 pagi dengan kekuatan seramai 30 anggota dan lima kenderaan Bomba ERT Petronas Rapid,” katanya.
Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan. – K! ONLINE