REMBAU – Pakatan Harapan (PH) didakwa sedang berdepan dengan tsunami politik yang mereka sendiri cipta berasaskan fitnah dan penipuan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lalu.
Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelbagai fitnah dan penipuan yang PH lakukan ketika itu untuk menumbangkan kerajaan BN kini sedang memakan diri.
Beliau yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kali ini mendakwa hal itu terbukti dalam dua PRK sebelum ini iaitu di Cameron Highlands, Pahang dan Semenyih, Selangor.
“Penipuan yang dibuat (pada PRU-14) untuk meyakinkan orang ramai supaya lena mendengar janji dan fitnah adalah yang paling dahsyat pernah dilakukan untuk jatuhkan kerajaan BN ketika itu. Memang rakyat terpesona.
“Jangan bimbang. Sejauh mana mereka boleh berbohong. Rakyat akan sedar jua akhirnya. Paling cepat sedar anak-anak muda. Saluran anak muda paling ditakuti BN dalam setiap pilihan raya sebelum ini, tetapi saluran ini yang memberi kemenangan kepada BN di Cameron Highlands dan Semenyih.
“PH sedang berdepan tsunami yang mereka cipta sendiri. Kerajaan yang naik atas fitnah yang melampau akan jatuh atas fitnah yang memakan diri mereka,” katanya semasa berceramah di Kampung Bemban dekat sini malam tadi.
Terdahulu, Mohamad berkata, faktor perpecahan dan cah keting dalam UMNO juga antara penyebab BN tewas pada PRU-14, maka seluruh ahli UMNO diseru kembali bersatu padu untuk bangkit semula.
Beliau turut menyatakan keyakinan kerjasama yang sedang terjalin antara UMNO dan PAS atas dasar penyatuan ummah akan membolehkan BN dan PAS menang dan menguasai kerajaan dalam PRU ke-15. – K! ONLINE