REMBAU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan calon yang jauh lebih baik untuk dipilih pengundi Rantau menjadi wakil rakyat mereka berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram.
Beliau dalam nada berjenaka mengenai Streram berkata, Mohamad seorang yang berpengalaman dalam bidang korporat dan pernah menjadi Menteri Besar membangunkan Negeri Sembilan, manakala Streram doktor bius yang akan membuat semua orang ‘tidur’ jika menang.
Justeru, kata Ahli Parlimen Pekan itu, adalah kurang bijak untuk pengundi Rantau menolak seorang pemimpin yang elok dan baik seperti bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu daripada menjadi wakil rakyat mereka.
“Kalau nak cari pemimpin yang pertama adalah elok dan kedua pandai. Antara Streram dengan (Datuk Seri) Mohamad Hasan siapa lebih elok? Pasti Mohamad Hasan lebih elok. Elok keseluruhan dan elok semua.
“Pandai, siapa lebih pandai? Streram doktor cucuk bagi orang tidur. Jadi semua orang ‘tidur’ nanti. Kita nak orang yang ada pengalaman dalam korporat, jadi Menteri Besar yang banyak pengalaman bangunkan negeri dan hari ini menjalankan tugas sebagai Presiden UMMO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai bersama ‘Bossku’ di Restoran Syamiera Corner di Bandar Sri Sendayan dekat sini malam tadi.
Najib berkata, pengundi Rantau perlu juga mengekalkan Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 13 April ini bagi menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat mahu zaman pentadbiran kerajaan BN kembali semula.
Terdahulu, beliau mendedahkan ramai yang datang bertemu beliau bagi meminta maaf kepadanya sejak kebelakangan ini kerana pernah mencaci dan memfitnah beliau.
“Orang minta maaf dengan saya ini cerita benar. Tadi pun keluar surau ada orang bisik pada saya, Datuk saya minta maaf sebab dulu caci Datuk. Sekarang saya tahu apa yang dicaci itu tidak benar. Saya maafkan dia,” katanya sambil menerima tepukan orang ramai.
Najib sebelum menyertai program di Restoran Syamiera Corner menunaikan solat maghrib bersama Mohamad dan masyarakat setempat di Surau An-Nur Bandar Seri Sendayan. – K! ONLINE