REMBAU – Kemiskinan tidak mengenal warna kulit sama ada Melayu, Cina atau India dan semua mereka perlu dibantu.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sendiri pernah menjalani kemiskinan hidup semasa menjadi anak yatim ketika berada dalam darjah lima.
Justeru, kata anak jati Rantau itu, beliau sentiasa berusaha membela golongan miskin sepanjang tiga penggal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Sebab itu apabila menjadi Menteri Besar, dasar pertama diperkenalkan ialah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial bagi membantu orang miskin.
“Pada awalnya seramai 5,000 orang miskin menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sepanjang 14 tahun pentadbiran, 33,000 orang dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sendayan di sini malam tadi.
Mohamad berkata demikian disebabkan beliau pernah didatangi warga emas miskin baru-baru ini yang mengadu bantuannya dipotong sejak empat hingga lima bulan lalu.
Menurut beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pentadbirannya meninggalkan rizab yang besar kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) iaitu lebih RM700 juta.
Sementara itu, katanya, rakyat Negeri Sembilan dapat menilai sendiri sama ada dakwaan pemimpin PH bahawa beliau gagal mentadbir negeri ini secara berkesan benar atau sebaliknya.
Selain itu, katanya, PH bersungguh-sungguh mahu menang di kerusi DUN Rantau bagi menghentikan momentum kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.
“Mereka nak hentikan momentum itu. Bukan kerana kerusi Rantau, tetapi mereka sedaya upaya nak menghilangkan atau menghentikan momentum kebangkitan UMNO dan BN,” katanya. – K! ONLINE