REMBAU – Pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara Sendayan dekat sini mula dibuka tepat pukul 8 pagi tadi.
Seramai 74 anggota tentera serta pasangan akan mengundi di lokasi tersebut, manakala lapan lagi anggota mengundi secara pos.
Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di pusat berkenaan untuk meninjau proses pengundian awal pada pukul 9 pagi, manakala calon Pakatan Harapan, Dr. S.Streram tiba di pusat sama lima minit sebelumnya.
Dua calon Bebas, iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd. Nor Yassin belum kelihatan sehingga pukul 10 pagi ini.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun tiba bagi meninjau proses undi awal di Pangkalan Udara Sendayan pada pukul 9.39 pagi ini.
Seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal akan menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.
Selain di Pangkalan Udara Sendayan, sebuah lagi pusat pengundian awal adalah Balai Polis Rantau yang turut dibuka pada pukul 8 pagi.
Kedua-dua pusat pengundian awal tersebut akan ditutup pada pukul 12 tengah hari ini. – K! ONLINE