SHAH ALAM – Seorang wanita dipercayai warga Myanmar ditemukan mati akibat terjatuh dari tingkat 15 Blok 2 Pangsapuri Kemuning Aman, Kota Kemuning di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.20 petang tadi disedari beberapa penduduk yang kebetulan berada di bawah blok berkenaan.
Penduduk yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, mereka terdengar bunyi kuat yang datang dari kawasan tempat letak kereta.
“Saya dan rakan terdengar bunyi bunyi kuat seperti barang jatuh sewaktu sedang berada dekat bawah blok. Kemudian mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Sementara itu, penduduk yang tinggal berhampiran rumah mangsa mendakwa mereka terdengar suara orang bertengkar sebelum wanita berkenaan ditemukan mati.
“Lebih kurang tengah hari tadi saya terdengar jeritan lelaki dan wanita seperti sedang bertengkar dari rumah berkenaan.
“Tidak lama kemudian, suasana kembali senyap sebelum dikejutkan dengan berita orang jatuh menerusi WhatsApp kumpulan penduduk di sini,” ujarnya.
Seorang penduduk di pangsapuri sama turut memberitahu wanita yang terjatuh itu dipercayai warganegara Myanmar.
“Wanita berkenaan jatuh dari tingkat 15, merupakan warganegara asing dipercayai dari Myanmar dan bekerja di sebuah kilang berhampiran,” katanya.