KUANTAN – Air katira, sata, puding raja, murtabak dan pulut panggang antara juadah yang dibeli Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini hari ini.
Baginda yang berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang MPK di sini, diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di bazar itu pada pukul 6.50 petang.
Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan ‘meronda’ bazar Mahkota Square selama hampir 15 minit untuk membeli juadah berbuka selain bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar, yang semuanya kelihatan teruja melihat kelibat baginda berdua.
Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MPK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu, yang merupakan tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu pada setiap kali bulan Ramadan. – K! ONLINE