KUALA LUMPUR – Bibit-bibit mempamerkan kemewahan dan kekayaan melampau didakwa semakin kelihatan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ‘penyakit’ itu menjadi semakin parah adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan semua pihak untuk menegur perbuatan tersebut.
“Baik sahabat dalam parti dan majlis kena tegur kerana orang yang berkuasa itu dengan sekelip mata, kadang-kadang limpahan kekayaan menonjol sekali.
“Bukan sahaja dalam Barisan Nasional (BN), tapi dalam Pakatan Harapan (PH) nampak bibit sedemikian. Baru lagi pegang jawatan, nampaknya luar biasa cara hidup dan perbelanjaan,” katanya ketika berucap di sini hari ini.
Terdahulu beliau berbuka puasa dalam Majlis Iftar Perdana anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Alumni Kolej Dar al-Hikmah (KDH).
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, keadaan itu mungkin akan timbul kritikan sinis yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa.
Kata beliau, sokongan semua pihak kepada kerajaan PH haruslah bersyarat, tidak boleh sama seperti sokongan kepada BN dan UMNO.
Jelasnya, idealisme yang ingin diterapkan kepada penyokong PKR dan PH adalah tiada tolak ansur dengan rasuah dan kekayaan dalam keluarga.
“Ini berlaku dalam pimpinan PH. Peringatan saya supaya masyarakat madani agar tidak sesekali meremehkan dengan tanggapan dia sahabat kita, dia pemimpin kita, kalau dia kaya melimpah tidak apa, ini kabilah assabiyah yang patut ditinggalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE