KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. (FGV) menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat senaraian awam Hong Kong, China Machinery Engineering Corp. (CMEC) bagi meneroka potensi untuk membuka sebuah kilang pengeluaran kertas pulpa.
Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia hari ini, FGV memberitahu, penamatan MoU berkenaan tidak akan memberikan sebarang kesan kewangan terhadap syarikat tersebut atau pun anak-anak syarikatnya.
Bagaimanapun, sebab penamatan tidak dinyatakan.
FGV dan CMEC menandatangani MoU tersebut pada 18 Disember lalu bagi meneroka usaha sama dalam membangunkan kilang pengeluaran kertas pulpa serta pengedaran dan pengkomersilan perniagaan produk berkenaan ke pasaran antarabangsa.
CMEC bekerjasama dengan institusi penyelidikan di Hangzhou dan Guangxi untuk menggunakan teknologi mengubah tandan buah kosong (EFB) kepada kertas pulpa untuk dikomersilkan.
Menurut Presiden FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, ini merupakan salah satu inisiatif syarikat tersebut untuk memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran memandangkan harga minyak sawit mentah mengalami naik-turun di samping dapat mengoptimumkan penggunaan produk sampingan daripada operasi sedia ada.