SHAH ALAM – Malaysia hanya membenarkan pengimportan plastik terpakai bagi tujuan kitar semula sahaja dan bukan untuk dilonggokkan di sini.
Menegaskan demikian, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Shafee Yasir berkata, kerajaan hanya membenarkan plastik terpakai yang bersih sahaja dibawa masuk untuk tujuan kitar semula.
“Plastik yang kotor dan tercemar tidak boleh diimport ke negara ini… tetapi ada sesetengah pengimport yang mencampur-adukkan kedua-dua jenis plastik ini.
“Perkara ini menjadi punca kepada masalah yang kita hadapi sekarang kerana plastik yang kotor dan tercemar ini perlu dicuci terlebih dahulu sebelum dikitar semula, dan kotoran dari plastik ini kemudian akan mencemarkan longkang dan sungai kita. Oleh kerana itu ia tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa mengenai longgokan plastik dari luar negara di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Tambah Shafee pihaknya kini sedang bekerjasama erat dengan Jabatan Kastam (JKDM) bagi menghalang kemasukan plastik terpakai yang tidak dibenarkan ke negara ini.
“Jika pihak JKDM syak pengisytiharan palsu dibuat atas kontena yang berisi plastik terpakai ini mereka akan menghubungi JAS untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketika diminta mengulas dakwaan penduduk Teluk Gong, Klang dekat sini bahawa terdapat individu berpengaruh melindungi kilang plastik kitar semula haram di kawasan berkenaan, Shafee berkata, memang terdapat individu yang tidak dikenali memerhatikan anggotanya ketika melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap kilang kitar semula plastik haram di sekitar kawasan itu.
“Bagaimanapun sehingga sekarang tiada insiden tidak diingini berlaku terhadap anggota JAS yang melakukan kerja penguatkuasaan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han menafikan dakwaan penduduk berkenaan dan mahu pihak yang mempunyai bukti mengenai dakwaan berkenaan tampil ke hadapan.
Katanya kerajaan negeri bersifat tegas dan tidak kompromi terhadap setiap kilang sisa plastik haram.
“Terkini, sebanyak tujuh kilang sisa plastik haram di Teluk Gong, Klang dikesan dan dikenakan tindakan.
“Dakwaan tentang penglibatan pihak berpengaruh itu sekiranya dikemukakan bersama bukti, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.