TOKYO – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri di Nagato-cho, Chiyoda-ku di sini.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara-perkara yang menjadi minat dan kepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam banyak bidang meliputi perdagangan, pendidikan, pertahanan dan lain-lain.
Mahathir, dalam ucapan pembukaannya berkata, Malaysia amat menghargai sokongan dari Jepun dan berharap hubungan baik yang telah sedia terjalin antara kedua-dua negara akan berterusan.
“Kami juga gembira kerana masyarakat perniagaan di Jepun telah menyatakan ikrar sokongan mereka kepada pelaburan dan kami amat mengharap untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi dengan Jepun,” katanya.
Abe dalam ucapannya pula berkata, Jepun akan terus menyokong Malaysia dan mengharapkan hubungan Jepun dan Malaysia diperkukuh semula dalam pelbagai bidang dan sektor yang sesuai dengan era baru kini.