BRIGHTON – Manchester City berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat musim kedua berturut-turut sekali gus menidakkan peluang Liverpool untuk muncul juara dalam tempoh 29 tahun dengan kelebihan satu mata pada perlawanan terakhir EPL yang berlangsung serentak sebentar tadi.
Skuad The Citizens mengesahkan kejuaraan apabila mengumpul 98 mata selepas menewaskan Brighton & Hove Albion 4-1 di Stadium Amex.
Meskipun Liverpool meraih kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield, namun ia belum memadai buat skuad The Reds yang mengumpul 97 mata untuk memintas kedudukan pasukan bimbingan Pep Guardiola.
Pada aksi di Stadium Amex itu, City dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan tuan rumah menerusi tandukan Glenn Murray hasil sepakan sudut pada minit ke-27, namun skuad Citizens bertindak pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian melalui Sergio Aguero.
Anak-anak buah Guardiola dilihat semakin agresif melakukan serangan dan akhirnya berjaya meraih jaringan kedua menerusi tandukan Aymeric Laporte pada minit ke-38 hasil sepakan sudut Riyad Mahrez.
Kejuaraan EPL semakin berada dalam dakapan City apabila Mahrez berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang ke gawang Brighton.
Gol keempat City hasil sentuhan Ilkay Gundogan pada minit ke-72 melengkapkan kemenangan bergaya dan hari kegemilangan skuad The Citizens untuk menjulang kejuaraan EPL.
Keputusan perlawanan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan. – K! ONLINE