KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorty digesa supaya tidak memilih bulu dalam memperjuangkan masyarakat India.
Malah idealogi serta perbezaan politik parti juga tidak seharusnya menjadi keutamaan jika perjuangan untuk komuniti menjadi kepentingan dan bukan sekadar retorik bagi mengaburi pandangan rakyat sahaja.
Itu kata Setiausaha Penerangan MIC Kebangsaan, A Subash Chandrabose kepada Waytha Moorthy yang menggesa peguam, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah memohon maaf kepada masyarakat India berhubung penggunaan perkataan ‘estet’ semalam.
Subash mengingatkan Waytha Moorty pada tahun lepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menggelar masyarakat India ‘keling’ dan ‘podah’ yang seolah-olah memperlekehkan komuniti itu.
Kata Subash, mengapa ketika itu Waytha Moorty hanya sekadar mendiamkan diri sebaliknya dalam isu Muhamad Shafee melompat-lompat dan bercakap seperti seorang pejuang sebenar.
“Bukan sahaja tahun lepas tapi sebelum-sebelum ini pun, pada 2016 Tun Mahathir pernah menggelar masyarakat India dengan panggilan ‘keling’. Penggunaan juga dianggap seperti satu penghinaan sehingga umum menuntut beliau mohon maaf.
“Mana pergi Waytha Moorthy masa itu? Tahun lepas, masih baharu lagi. Adakah masa itu anda duduk dalam gua?” soalnya dalam laman sosial Facebook hari ini.
Posting Subash juga turut dikongsi dan rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Waytha Moorty yang pilih kasih.
Tahun lalu, kecoh seketika apabila ketika berceramah sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Tun Mahathir menggunakan perkataan keling’ dan ‘podah’ kemudiannya menjadi isu sehingga menuntut beliau memohon maaf kerana memperlekehkan masyarakat India.
‘Keling’ yang berasal daripada perkataan ‘Kalinga’ digunakan pada era penjajahan bagi menggambarkan individu daripada benua India.
Perkataan ‘keling’ dianggap sebagai istilah memperlekeh atau menghina kaum India meskipun perkataan itu pada asalnya tidak dianggap sedemikian ketika mula-mula digunakan pada abad ke-15.
Walaupun perkataan itu digunakan secara umum namun sejak 1960-an ia digunakan untuk menghina orang India Malaysia. – MalaysiaGazette