KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai dua Ahli Parlimen paling aktif menggunakan media sosial Facebook di negara ini.
Memetik analisis yang dijalankan oleh akhbar The Star, kedua-dua mereka merupakan antara 191 Ahli Parlimen daripada 222 yang didapati aktif dan kerap menggunakan Facebook dengan aktiviti mengemas kini maklumat serta kenyataan.
Najib dan Dr. Mahathir juga masing-masing menduduki tempat pertama serta kedua daripada aspek bilangan `suka’ yang ditekan oleh pengguna Facebook.
Analisis berkenaan mendapati, Najib memiliki kira-kira 3.8 juta ‘suka’ diikuti Dr. Mahathir dengan 3.6 juta ‘suka’.
“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menduduki tempat ketiga dengan 1.8 juta `suka’ kemudian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (1.7 juta) dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin (1.2 juta).
“Analisis itu bagaimanapun hanya berpandukan kepada data dari laman sosial rasmi Ahli Parlimen sahaja,” kata laporan itu hari ini. – UTUSAN ONLINE