PUTRAJAYA – Seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) menafikan pernah menengking anggotanya kerana menahan enam suspek ekoran penemuan kem penempatan manusia di Wang Kelian, Perlis.
Perkara itu susulan persoalan ditimbulkan Pengerusi RCI, Tun Ariffin Zakaria kepada Kompeni Komandan B Batalion 3 Pasukan PGA, Asisten Superintenden M. Joeking mengenai keterangan saksi pertama, Koperal Mat Ten sebelum ini.
Terdahulu Ariffin berkata, Mat Ten sewaktu sesi pendengaran awam RCI lalu yang berlangsung secara tertutup mendakwa dia menemukan dan menahan enam warga asing pada malam 19 Januari 2015.
“Mat Ten kemudian dalam keterangannya memaklumkan awak (Joeking) cakap kepada dia ‘you betul-betul bodoh, saya cakap jangan cari.
“Kemudian Mat Ten jawab, saya bukan cari, cuma saya ternampak mereka tengah berjalan,” katanya di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, Joeking menafikan perkara itu berlaku sambil menjelaskan tidak percaya bahawa dia akan berbuat demikian kepada anggota bawahan PGA.
Saksi kelima itu dipanggil semula dalam sesi pendengaran RCI hari ini bagi memperjelaskan beberapa keterangannya yang bercanggah dengan saksi-saksi sebelum ini.
Pada masa sama, Joeking sekali lagi menegaskan bahawa dia pernah tidak memberikan taklimat mengenai penemuan struktur kubur manusia di Wang Kelian dalam Mesyuarat Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
“Pada ketika itu, saya cuma beri taklimat mengenai struktur khemah dan jambatan gantung.
“Sehinggalah dalam mesyuarat itu, saya mendengar ura-ura yang memberikan maklumat penemuan struktur kubur berkenaan,” katanya.
Beberapa saksi sebelum ini termasuk Timbalan Ketua Polis Perlis ketika itu, Mat Zukir Mat Isa pernah memaklumkan Joeking sendiri yang memaklumkan penemuan struktur kubur itu dalam mesyuarat berkenaan.
Sesi RCI bersambung semula esok dengan prosiding dijalankan secara tertutup. – UTUSAN ONLINE