JOHOR BAHRU – Seorang pemandu dan kelindan sebuah lori tangki membawa muatan simen maut apabila kenderaan dinaiki tiga penumpang terbabas memasuki gaung sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Ulu Tiram di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.38 pagi itu, pemandu lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaan manakala kelindan pertama rentung di tempat tidur lori tangki berkenaan.
Manakala, kelindan kedua pula patah bahu kanan.
Ketiga-tiga identiti mangsa masih belum diperolehi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Anuar Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.38 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan enam 16 anggota bersama empat jentera bomba termasuk lori tangki air.
“Kejadian kemalangan berlaku di Jalan Ulu Tiram menghala ke Felda Ulu Tebrau yang mana lori tangki membawa muatan simen dinaiki tiga mangsa.
“Lori tersebut telah terbabas dan masuk ke dalam gaung sedalam kira-kira satu meter,” katanya.
Anuar berkata, mangsa cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis. – K! ONLINE