KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diperoleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM558.9 juta.
Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata, jumlah bayaran balik sepatutnya diterima adalah RM300 juta sebulan, namun jumlah purata diperoleh dalam lingkungan RM150 juta sehingga RM180 juta.
“Status pembayaran setakat ini masih di bawah tahap sebenar, sepatutnya tahun lepas, jumlah kutipan adalah RM4 bilion setahun kerana kita perlu beri pinjaman kepada pelajar baharu dan sedia ada.
“Peminjam yang membuat pemotongan gaji tiada masalah tetapi masih ada peminjam belum membuat pembayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bebas Hutang PTPTN 2018/2019 di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Ghaffar berkata, sehingga April, jumlah yang tertunggak ialah sebanyak RM6.5 bilion yang melibatkan 350,000 peminjam dan ini menimbulkan masalah kekurangan dana saban tahun.