KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas berhubung laporan media konon berlaku penyelewengan dana anak yatim di bawah Yayasan Pembangunan Ejonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Bekas perdana menteri itu berkata, sejak berita itu tular, beliau dimaki dan difitnah oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) termasuk mereka yang berpuasa turut berkongsi beramai-ramai.
“Saya tak mahu ulas lebih lanjut lagi. Semalam saya sudah puas difitnah dan dimaki setelah Ahli-ahli Parlimen PH termasuk mereka yang berpuasa kongsikan secara beramai-ramai.
“Baca sendiri jawapan dari pihak Yapeim bawah kerajaan PH,” katanya ringkas menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Sabtu lalu, sebuah portal berita melaporkan, dana sebuah yayasan Islam berjumlah RM1 juta yang sepatutnya disalurkan kepada anak yatim didapati disalahguna untuk membiaya kos guaman seorang penasihat Najib.
Perkara itu dinyatakan dalam satu nota perbincangan sulit kerajaan mengenai perbelanjaan dana Yapeim.
Bagaimanapun, semalam pegawai yayasan itu tampil menafikan tuduhan berkenaan dengan menyatakan, yuran guaman pengarah Yapeim bukan dari dana amanah untuk anak yatim, tetapi dari hasil pelaburan.
Menurut Ketua Bahagian Perundangan Yapeim, Adawiyah Abdul Samad, tidak berlaku sebarang penyelewengan dana dalam membayar yuran guaman bagi kes saman yang dihadapi pengarah terbabit.
“Dakwaan RM1 juta disalah guna tidak benar dan ia adalah fitnah. Yuran guaman itu tidak diambil dari amanah atau dana anak yatim seperti didakwa.
“Yapeim ada dua dana – am dan amal jariah. Wang yang digunakan untuk yuran guaman diambil dari dana am dan ia bukan berjumlah RM1 juta. Jauh lebih kecil,” kata Adawiyah.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang dibayar bagi yuran guaman itu.
Empat pegawai pengurusan termasuk Adawiyah hadir pada sidang media di pejabat Yapeim di Kuala Lumpur semalam, mewakili Ketua Pengarahnya Abibullah Samsudin yang tidak dapat hadir kerana menghadiri program lain.
Menurut Adawiyah lagi, penggunaan wang dari dana am itu diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah, bahkan tidak mempunyai kaitan dengan Najib.
Pada 2017, Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin), yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman dengan mendakwa yayasan itu menyalahgunakan dana Pemangkin untuk menaja bekas menteri di jabatan perdana menteri ke Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
Saman itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu dan setahun sebelum itu, Yapeim memfailkan injunksi Mareva terhadap Pemangkin yang meninggalkan yayasan itu dengan dana berjumlah RM2.2 juta.
Injunksi Mareva merupakan injunksi sementara yang bertujuan membekukan aset sementara menunggu penyelesaian mahkamah.
Difahamkan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang baharu dilantik pada April lalu memutuskan untuk menyelesaikan kes dengan Pemangkin di luar mahkamah. – MalaysiaGazette