KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan digesa mengambil langkah drastik dan segera untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan perlu mengelak daripada menerima malu apabila media antarabangsa, portal Bloomberg menyiarkan laporan berita bertajuk, “Global Investors Are Losing Patience With Malaysia”.
Katanya, laporan itu sangat memalukan dan boleh dianggap sebagai satu ‘hadiah istimewa’ kepada Menteri Kewangan.
“Mengapa tidak ada langkah pemulihan atau pengurusan risiko yang dilakukan oleh Menteri Kewangan?
“Pelbagai indikator menunjukkan keyakinan majoriti rakyat dan pelabur luar negara telah merudum dan beberapa minggu lalu, dapatan dari kaji data Research dan The Edge menunjukkan majoriti responden tidak yakin terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan ekonomi negara.
“Tidak sekadar itu, sorotan dari FTSE Russell dan Morgan Stanley juga turut menunjukkan kebimbangan terhadap pasaran kewangan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menjelaskan, pengaliran keluar dana asing pada April sahaja mencecah RM1.49 bilion.
Bagi kewangan sektor awam, katanya, defisit fiskal semakin membengkak kepada 3.8 peratus (RM 53 bilion) pada akhir tahun 2018 dan hutang yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh tiga bulan pertama sahaja telah mencecah hampir RM28 bilion.
“Jika situasi ekonomi ini berterusan, maka rakyat dan pelabur luar negara akan terus pesimis. Ini menunjukkan langkah kerajaan untuk mengkonsolidasi fiskal tidak akan menjadi kenyataan,” katanya. – MalaysiaGazette