PEMUDA Pakatan Harapan, terutama daripada AMANAH, dilihat bermati-matian menegakkan benang yang basah apabila menidakkan keadaan ekonomi negara yang semakin tenat. Terbaru, Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, YB Faiz Fadzil mengeluarkan kenyataan yang sama seperti dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng yang mengatakan Foreign Direct Investment (FDI) atau Pelaburan Langsung Asing negara melonjak hampir 100% berbanding tahun 2018.
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin merungkai perbandingan ekonomi sebelum PRU-14 dan keadaan ekonomi pada hari ini sebagai penanda aras kesihatan ekonomi negara kita. Diharapkan barisan Pemuda Pakatan Harapan menggunakan fakta untuk berhujah. Jangan pula terikut-ikut dengan rentak Menteri DAP yang setiap hari mendendangkan alasan sama setiap kali dihujani soalan kegawatan ekonomi; (1) Salah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan (2) Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.
Pemuda Pakatan Harapan harus teliti dalam menyalahkan kerajaan Barisan Nasional kerana fakta perbandingan tidak boleh ditipu. Berkaitan akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, kenapakah pelabur keluar dari Malaysia dan ringgit bertambah lemah, walhal negara serantau lain seperti Indonesia dan Thailand, ekonomi makin mengukuh. Kenyataan dangkal sebegini hanyalah “general answer” untuk menutup kegagalan diri sendiri.
Khazanah Nasional merupakan “investment arm” terpenting di dalam negara kita, mencatatkan keuntungan RM 2.9 billion dengan nilai aset meningkat RM 13.5 billion sebelum PRU-14. Malangnya, selepas PRU-14, Khazanah Nasional mencatatkan kerugian RM 6.3 billion dengan nilai aset susut RM 25 billion. Ini disebabkan penjualan beberapa aset penting Khazanah terutamanya kerajaan menjual saham IHH kepada Mitsui. IHH merupakan pemilik rangkaian hospital swasta terbesar di Asia, Malaysia, Singapura dan Turki, juga adalah kumpulan hospital kedua terbesar di dunia dan India. Syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia sejak 2012.
Untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi hari ini, Setiausaha Agung DAP dan Pemuda AMANAH membuat kenyataan yang janggal tentang FDI negara kita. Lim Guan Eng mengumumkan Malaysia telah mencapai pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam sejarahnya. Negara ini menerima RM21.7 bilion dalam FDI pada suku pertama tahun ini. Dalam tempoh yang sama tahun lepas negara mencatatkan RM11.2 bilion. Ini mewakili peningkatan sebanyak 94.8 peratus dalam FDI. Masalahnya, Menteri Kewangan dan Pemuda Pakatan Harapan keliru dengan istilah FDI.
Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM 21.7 bilion, RM 8.4 bilion adalah dari Jepun; RM 3.7 bilion dari Austria dan selebihnya RM 9.6 bilion dari negara lain termasuk Hong Kong. Malangnya, RM 8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui. Malangnya, RM 3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50% saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh Syarikat Minyak OMV berpangkalan di Australia. Ini bermakna FDI baru sebenarnya menurun daripada RM 11.2 Billion kepada RM 9.6 Billion. Berdasarkan kamus Menteri Kewangan, adakah penjualan aset-aset negara kita menjadi penanda aras FDI? Jika begitu jawapan beliau, seperti yang dinyatakan di dalam sidang media, maka penjualan aset negara adalah baik dari kaca mata Lim Guan Eng. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengajak rakyat berfikir sejenak. Adakah penjualan aset utama negara, seperti PETRONAS misalnya, baik untuk negara? Semestinya jawapannya adalah TIDAK. Penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat.
Hutang kerajaan pula sebelum PRU-14 adalah sebanyak RM 686 billion, tetapi hari ini hutang negara sudah meningkat kepada RM 776 billion pada suku pertama 2019. Peningkatan hutang negara hampir RM 100 billion ini merupakan penanda aras bahawa kerajaan Pakatan Harapan gagal mentadbir ekonomi negara. Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pula hanyalah 50.1% pada suku pertama 2018, sebelum PRU-14. Nisbah hutang meningkat kepada 53.8% pada suku pertama 2019. Penanda aras seterusnya ialah indeks Bursa Saham Malaysia, KLSE. Sebelum PRU-14, indeks KLSE mencatatkan 1,895 mata tetapi hari ini indeks KLSE menjunam kepada 1626 mata. Kadar pertumbuhan ekonomi negara, KDNK sebelum PRU-14 adalah 5.9% tetapi selepas PRU-14 turun kepada 4.5%. Malangnya angka yang dikeluarkan oleh YB Faiz Fadzil hanya membandingkan KDNK 4.5% dengan “jangkaan ekonomi dunia” iaitu 2.7%. Bak kata pepatah, ini bukanlah perbandingan “apple-to-apple”. Sewajarnya mereka membanding KDNK Malaysia sebelum PRU-14 dan selepas PRU-14. Inilah fakta yang Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ketengahkan.
Fakta ekonomi tidak akan menipu skor kesihatan ekonomi negara. Pemuda Pakatan Harapan dan AMANAH tidak perlu menjadi “akauntan profesional” seperti Menteri Kewangan mereka untuk melihat kemerosotan ekonomi negara jika dibandingkan sebelum dan selepas PRU-14. Rakyat boleh bertanyakan Pemuda Pakatan Harapan, jika ekonomi bertambah baik, mengapa alasan demi alasan diberikan kerana gagal memberikan wang hari raya kepada peneroka FELDA? Pakatan Harapan setakat ini tidak memberikan keputusan muktamad berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara. Seperti biasa, dialog dan lirik sama dimainkan, iaitu keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.
Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan mereka. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.
Demi Bangsa Malaysia!
Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera