KUALA LUMPUR – Cadangan penggabungan Axiata Group Bhd. (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) dari Norway yang akan mewujudkan pengendali telekomunikasi terbesar dilihat mempunyai beberapa risiko yang boleh menjejaskan perjanjian berkenaan.
Risiko tersebut antaranya termasuklah mendapatkan kelulusan kawal selia bagi penggabungan dan pemindahan aset atau lesen kedua-dua buah syarikat di sembilan pasaran, menurut CIMB Equities Research.
“Selain itu, ketidaksepakatan yang berpotensi terhadap kawalan atau rangka kerja dalam menjalankan satu entiti baharu (MergedCo) termasuk pelantikan teraju utama dan strategi serta pelan jangka panjang syarikat baharu itu juga memungkinkan rundingan bagi cadangan penggabungan itu tidak akan terlaksana,” katanya dalam nota kajiannya di sini, hari ini.
CABARAN
Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim mengumumkan cadangan penggabungan operasi Axiata dan Telenor yang bakal menjadikannya syarikat telekomunikasi terbesar di rantau ASEAN dan Asia Selatan.
Sementara itu, JF Apex Securities juga menggariskan beberapa cabaran termasuk keberkesanan dalam melaksanakan penggabungan dan merealisasikan sinergi sebenar selepas ia dimuktamadkan.
Katanya, terdapat juga kebimbangan untuk mendapatkan kelulusan kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan menentukan sama ada penggabungan Celcom dan Digi akan mengurangkan persaingan berdasarkan Garis Panduan Pengurangan Persaingan 2014.
“Di antara ketiga-tiga pengendali mudah alih, penggabungan Celcom dan Digi (MalaysiaCo) akan mempunyai penguasaan pasaran terhadap 68 peratus pelanggan mudah alih dan 61 peratus daripada pendapatan segmen telekomunikasi.
“Bagaimanapun, pengurusan Axiata menyatakan MalaysiaCo hanya akan memegang 35 peratus bahagian pendapatan pasaran telekomunikasi yang lebih besar merangkumi pemain jalur lebar seperti Telekom Malaysia dan TIME.com,” katanya.
KEBIMBANGAN
Turut bersetuju dengan risiko yang dihadapi Axiata dan Telenor, Penganalisis Kenanga Investment Bank, Cheow Ming Liang berkata, cabaran terbesar dalam rancangan itu ialah kelulusan kawal selia, memandangkan MergeCo beroperasi di sembilan negara berbeza dan tertakluk kepada dasar dan garis panduan berbeza.
Menurutnya dalam nota kajian, spektrum juga akan menjadi kebimbangan utama, terutama di Malaysia kerana pihak berkuasa tempatan enggan memberi spektrum serupa kepada entiti yang sama.
“Kelulusan pemegang saham juga mungkin menjadi halangan terutama apabila nilainya tidak cukup menarik, namun masih memerlukan persetujuan mereka,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis AmInvestment Bank, Alex Goh mengulangi pandangan bahawa langkah penstrukturan semula yang besar itu boleh tergendala disebabkan pengawasan pengawal seliaan negara masing-masing.
“Kami tidak pasti sama ada SKMM dan rejim politik semasa akan meluluskan cadangan ini, memandangkan penggabungan akan mengurangkan tahap persaingan dengan mengorbankan pilihan pengguna dan alternatif harga,” katanya.
Apakah cabaran penggabungan gergasi ini?
l Mendapat kelulusan kawal selia
l Ketidaksepakatan terhadap kawalan atau rangka kerja
l Kebimbangan dapatkan kelulusan SKMM
l Kelulusan pemegang saham
l Korbankan pilihan pengguna