KUALA LUMPUR – Hanya satu perkataan yang mampu menggambarkan perasaan Bella Astillah sekarang setelah dia secara sah bercerai dengan pelakon dan penyanyi, Alif Aziz.
Namun, dia sebolehnya tidak mahu kelihatan sedih dan hanya menyimpan rasa membungkam di dalam hati demi anaknya yang tersayang, Ayden.
Jelas Bella, apa yang masyarakat nampak hanyalah secebis rasa hati yang dia pilih untuk tatapan semua, namun di dalam hati hanya tuhan yang tahu.
“Saya tak mahu Ayden nampak kesedihan ini, biar dia nampak ibunya seorang yang kuat dan sentiasa gembira dalam hidup.
“Tapi siapa tahu, saya di rumah bagaimana. Perpisahan ini bukan sesuatu yang saya pernah fikirkan. Siapa mahu runtuhkan masjid yang dibina?
“Saya sebolehnya mahu menyelamatkan rumah tangga, tetapi ini semua takdir. Saya yakin, ini adalah peluang untuk Aliff dan saya memperbaiki diri kami,” katanya kepada MHE TV.
Aliff menceraikan isterinya, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah semalam.
Dalam pada itu, Bella tidak dapat menafikan perasaan sayang masih ada di dalam hatinya untuk Aliff namun, itu tidak menghalangnya meneruskan perceraian ini.
“Tipulah kalau tak sayang. Enam tahun kami bersama tapi saya perlu ketepikan semua itu dan teruskan kehidupan bersama Ayden.
“Untuk Aliff, saya doakan semoga awak mendapat kehidupan yang lebih baik. Jaga ibu dan bapa awak. Semoga kita sama-sama menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE