ALOR SETAR – Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang memasuki tempoh setahun bukan sahaja meresahkan majoriti rakyat, namun seakan-akan telah membawa negara semakin mundur ke belakang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, rakyat juga semakin bimbang tentang onar yang bakal dibawa PH dalam pentadbiran negara sementara menunggu tempoh sepenggal sebelum pilihan raya seterusnya diadakan.
Menurutnya, ramai kini yang kecewa akibat menyesal tersalah pilih, kerana harapan rakyat agar PH mengemudi negara dengan lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) tidak menjadi realiti.
āBukan sahaja dasar yang seolah-olah mengenepikan kepentingan Islam dan Melayu, negara kini hampir huru-hara ādikerjakanā barisan Kabinet yang sangat mengecewakan Perdana Menteri.
āNamun, itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh PH walaupun ada pemimpin yang menghamburkan kemarahan di rostrum sekolah dek kerana tak tahan disindir pedas oleh netizen,ā katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada 9 Mei tahun lalu, PH yang dikemudi Tun Dr. Mahathir Mohamad memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 apabila menewaskan BN yang memerintah negara lebih 60 tahun.
Suraya berkata, kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan seperti manifesto bukan kitab suci serta isu-isu lain termasuk kedaulatan Raja-Raja Melayu, puluhan ribu hilang pekerjaan, campur tangan dalam Tabung Haji dan pembohongan berkaitan Felda antara yang menjadi perhatian rakyat.
āSelain itu, ekonomi negara turut merudum, manakala mata wang negara semakin merosot serta kos sara hidup meningkat. Siapa yang tidak kecewa dan marah ditipu berkali-kali dan memberi alasan dangkal bagi setiap janji yang dimungkiri.
āMalah, melucukan pula apabila teringatkan kisah kasut dan sarung kaki hitam, sijil palsu, menoreh di musim tengkujuh, nelayan tanam nanas di belakang rumah, minum minyak sawit, tanam padi waktu malam dan menjenamakan semula produk BN yang menjadi bahan jenaka rakyat,ā ujarnya.
Lebih meresahkan kata Ketua Penerangan UMNO negeri itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diharapkan akan menjaga kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera seolah-olah berada di bawah tapak kaki DAP.
āKasihan sungguh melihat Perdana Menteri āsementaraā yang terlalu emas usianya bagai diperkotak-katik dan dipermainkan oleh DAP, PKR dan PAN. Namun apakan daya, itu pilihannya,ā katanya. – UTUSAN ONLINE