AMSTERDAM – Sehari selepas Liverpool melakar kebangkitan hebat dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, hari ini giliran Tottenham mempamer aksi menakjubkan apabila bangkit daripada ketinggalan 0-3 secara agregat sebelum menyingkirkan Ajax di Amsterdam.
Hatrik Lucas Moura, termasuk gol dramatik pada waktu kecederaan melengkapkan kebangkitan sensasi Spurs dan membawa mereka mara ke final kejohanan kelab elit Eropah itu buat kali pertama.
Selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di laman sendiri minggu lalu, Tottenham berada di ambang penyingkiran apabila ketinggalan 0-2 di Amsterdam (0-3 secara agregat) hanya 35 minit selepas permainan berlangsung.
Begitupun, tiga gol yang disempurnakan Moura pada babak kedua, termasuk dua jaringan pantas dalam tempoh empat minit memastikan kelab London itu menang 3-2, sekali gus layak ke final menerusi peraturan gol tempat lawan selepas saingan terikat secara agregat 3-3.
Kemenangan itu menemukan Spurs dengan musuh senegara, Liverpool yang terdahulu melakar kebangkitan luar biasa membelasah Barcelona 4-0 dalam satu lagi separuh akhir, semalam.
Ini kali pertama dua kelab England menguasai pentas akhir Liga Juara-Juara sejak Manchester United bertemu Chelsea pada 2008.
Bagaimanapun anak-anak buah Mauricio Pochettino terpaksa mengharungi detik amat mencemaskan apabila Matthijs de Ligt meledak gol pembukaan Ajax seawal minit kelima sebelum Hakim Ziyech menggandakan kedudukan, 30 minit berselang.
Semangat juang tinggi yang dipamerkan Spurs membolehkan mereka mengejar tuan rumah, bermula dengan gol jarak dekat Moura pada minit ke-55, diikuti jaringan keduanya, empat minit kemudian.
Enam minit memasuki waktu kecederaan, Moura memastikan Spurs memahat sejarah Eropah apabila melengkapkan hatrik menerusi rembatan kaki kiri. – Agensi