SABAK BERNAM – Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera ringan selepas kenderaan dinaiki memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki minyak di Kilometer 45 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6 pagi, Sabri Arifin, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi.
Sementara, isterinya, Nurlian L. Abdullah, 58, cedera di bahagian kaki.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, semasa kejadian pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke Tanjong Karang dari Teluk Intan, Perak telah memasuki secara tiba-tiba arah bertentangannya.
Katanya, pemandu lori tangki minyak berusia 42 tahun yang sedang menuju ke Bagan Datuk, Perak dari Putrajaya telah memberikan bunyi hon kereta.
“Namun, Myvi itu gagal mengelak sebelum melanggar bahagian hadapan lori tangki minyak tersebut.
“Perlanggaran itu mengakibatkan Myvi berkenaan berpusing ke arah lorong bertentangan dengan pemandunya maut di lokasi kejadian akibat tersepit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas beliau, kesemua mangsa termasuk pemandu lori yang cedera di bahagian kaki telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE