JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah akan mengutus kembali kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang diterima daripada rakyat jelata.
Sultan Ibrahim bertitah, orang ramai boleh mengirim kad ucapan hari raya kepada Baginda beralamat di Istana Pasir Pelangi di sini dan setiap kad yang diterima akan dibalas semula.
“Saya percaya bahawa mengutus kad Hari Raya secara tradisional dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Malah, saya turut membaca banyak komen-komen dalam laman Facebook rasmi saya yang bertanyakan mengenai kiriman kad Hari Raya daripada saya,” titah Baginda kepada Royal Press Office hari ini.
Pada pagi Sultan Johor berkenan menandatangani sebanyak 100 kad ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada Baginda dan juga keluarga DiRaja Johor di Istana Pasir Pelangi.
Secara lazimnya pada setiap tahun, Baginda berkenan menandatangani sendiri setiap kad ucapan Hari Raya yang kemudian disampaikan kepada orang kenamaan, pegawai kerajaan, kakitangan Istana Johor serta orang awam. – UTUSAN ONLINE