JOHOR BAHRU – Sultan Johor sedia menyerahkan tanah milik Baginda di Bukit Chagar di sini tanpa sebarang kos sekiranya tanah itu benar terlibat untuk projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Setiausaha Sulit kepada Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd. Noah berkata, Baginda berkenan berbuat demikian tetapi dengan syarat projek RTS mesti diteruskan segera.
“Ini kerana Baginda amat memahami derita rakyat yang terpaksa berulang alik ke Singapura.
“Sebagaimana yang sering ditegaskan bahawa kepentingan rakyat dan kerajaan sentiasa menjadi keutamaan Baginda dan setiap isu haruslah dibincang secara muafakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa berkenaan laporan berita yang mengaitkan isu peningkatan kos projek RTS dengan sebidang tanah milik Baginda di Bukit Chagar.
“Sehingga ke hari ini Sultan Johor tidak pernah dimaklumkan mengenai tanah milik Baginda yang akan terlibat projek RTS tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE