KOTA BHARU – Surat arahan penutupan operasi perniagaan pada waktu solat terawih yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tiga hari lepas masih diperingkat pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan belum dikuat kuasakan kepada peniaga, kata Timbalan Menteri Besar, Mohd. Amar Nik Abdullah.
Oleh itu, katanya, semua pengusaha kedai makan dan restoran di Kelantan boleh menjalankan operasi perniagaan seperti biasa sepanjang waktu malam pada bulan Ramadan.
“Arahan tersebut dikeluarkan kepada PBT dan belum sampai kepada peniaga. Tiada sebarang arahan yang dikenakan ke atas peniaga setakat ini.
“Jadi perkara ini masih terlalu awal untuk dipolemik atau disensasikan. PBT setiap kawasan akan menentukan perkara itu dengan melihat kaedah yang sesuai selain mengambil kira undang-undang negeri sebelum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Media melaporkan bahawa para pengusaha kedai makan dan restoran di Kelantan diarah menghentikan operasi dari 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini bagi menghormati bulan suci ini dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau.
Mohd. Amar berkata, PBT sebagai pihak yang lebih arif berhubung peraturan dan undang-undang tempatan akan melihat arahan tersebut dengan teliti sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
“Memang kalau ada arahan kita (PBT) kena laksanakan tetapi perlu melihat undang-undang terlebih dahulu termasuk undang-undang kecil negeri sebelum sesuatu penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.
Mengulas berhubung jangkaan pelaksanaan arahan itu Mohd. Amar berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak yang menandatangani surat berkenaan kerana tidak semua keputusan ditentukan melalui mesyuarat kerajaan negeri.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri menghormati semua pandangan dan maklum balas yang diterima daripada semua pihak sejak surat arahan itu tular tiga hari lepas.
Katanya, semua pihak diharap dapat melihat arahan tersebut dari sudut positif seperti mana arahan larangan merokok di kedai makan yang kuatkuasakan kerajaan Persekutuan sebelum ini.