PARIT – Taktik licik seorang ketua kampung menyimpan mercun dan rokok seludup di sebuah kuarters kerajaan kosong di sebuah kampung di sini akhirnya terbongkar selepas diserbu polis kelmarin.
Malah lelaki berusia 57 tahun yang baru sahaja setahun dilantik sebagai ketua kampung itu dipercayai menjual harga mercun tiga kali ganda daripada harga asal untuk mengaut keuntungan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah sekitar jam 11.10 malam.
“Semasa serbuan dijalankan pihak polis berjaya merampas lebih kurang 17 jenis mercun serta 10 jenama rokok seludup yang disimpan di sebuah rumah kosong di dalam kuarters kerajaan yang didiaminya.
“Hasil daripada soal siasat suspek beritahu mercun dan rokok seludup yang dirampas adalah untuk dijual di sekitar Perak Tengah,” katanya pada sidang media di IPD Perak Tengah di sini hari ini.
Menurutnya, suspek mengaku sudah lebih enam tahun tinggal di kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dan menjadikan rumah kosong di sebelah rumahnya sebagai tempat simpanan rokok seludup serta mercun.
Mohamad Zainal berkata, suspek turut mempunyai kedai runcit dan dipercayai sudah enam tahun menjual rokok seludup manakala mercun pula baru dijual sempena Ramadan dan Syawal kali ini.
“Apa yang menarik suspek baru sahaja beberapa jam menerima mercun yang dibelinya daripada pembekal untuk dijual kepada orang ramai, namun belum sempat berbuat demikian dia ditangkap polis.
“Kami percaya dengan tertangkapnya suspek aktiviti penjualan rokok seludup dan mercun sekitar Perak Tengah berjaya dikekang dari berleluasa,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 74 karton rokok dirampas polis meliputi 45 karton yang dijumpai di dalam rumah kosong manakala 29 karton lagi dijumpai di dalam bonet kereta milik suspek.
“Kita juga merampas 186 kotak mercun daripada 17 jenis pelbagai jenama di dalam rumah kosong tersebut dan semua nilai rampasan berjumlah lebih RM7,000 termasuk mercun sebanyak RM5,000.
“Suspek turut mengaku memperoleh bekalan mercun dan rokok seludup dari kenalannya yang tinggal di Lekir dan Teluk Intan,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.