KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menjadi universiti Malaysia pertama berjaya tergolong dalam 40 universiti terkemuka Asia, mengikut kedudukan terkini oleh Times Higher Education (THE) yang mengukur prestasi institusi pengajian tinggi (IPT) global.
Mengikut Kedudukan Universiti Dunia 2019, UM kini di tempat ke-38 berbanding ke-46 pada tahun lalu daripada 400 universiti di Asia, namun masih dalam kelompok 301-350 terbaik daripada lebih 1,000 universiti seluruh dunia.
Universiti tempatan lain yang turut berada dalam senarai Asia ialah Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan ke-98, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) ke-111, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-125 manakala Universiti Sains Malaysia (USM) ke-150.
Kebanyakan universiti yang menguasai kedudukan 10 terbaik peringkat Asia adalah dari China dengan Universiti Tsinghua menduduki tempat teratas mengatasi Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
Sementara itu dalam peringkat dunia, universiti-universiti Barat terus mengungguli senarai THE dengan Universiti Oxford (United Kingdom) di tempat pertama, diikuti Universiti Cambridge (United Kingdom) dan Universiti Stanford (Amerika Syarikat).
Kedudukan terkini itu juga menyaksikan kebanyakan universiti di China mencatatkan peningkatan disebabkan kerjasama antarabangsa yang terjalin dalam Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) oleh pemerintah China.
Kedudukan THE menggunakan 13 petunjuk prestasi dan setiap univerisiti dinilai dari segi pembelajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan serta prospek antarabangsa.