SHAH ALAM – Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan permohonan pegawai pengendali untuk membawa van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke perkarangan mahkamah sebagai rujukan.
Koroner Rofiah Mohamad membenarkan permohonan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin untuk membawa van EMRS itu di pekarangan mahkamah pada Rabu hadapan.
“Saya membenarkan van EMRS yang bukan terlibat dengan kejadian rusuhan dan boleh bergerak di bawa ke mahkamah.
“Pihak berkepentingan perlu memastikan van itu tersebut ada seharian di mahkamah pada tarikh ditetapkan. Ini bertujuan memastikan penggunaan van EMRS ini tidak menganggu jika diperlukan di balai bomba,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Faten Hadni dalam prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim yang memasuki hari ke-32 mencadangkan van EMRS dibawa ke mahkamah untuk rujukan koroner.
Prosiding hari ini memanggil semula Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi yang merupakan saksi ke-24 bagi memberi penerangan berhubung teorinya kepada mahkamah.
Pada masa sama, Rofiah juga menetapkan prosiding inkues bersambung semula selama empat hari bermula Selasa hadapan dengan memanggil saksi yang sama. – UTUSAN ONLINE