MARAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan peneroka Felda supaya bersabar dengan keadaan harga kelapa sawit yang tidak menentu ketika ini.
Seri Paduka bertitah, baginda dapat merasai dan memahami kedudukan masyarakat peneroka ketika ini dan berharap mereka memberi kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda serta kerajaan mencari jalan keluar daripada masalah berkenaan secepat mungkin.
Titah Seri Paduka, kerajaan sedang berusaha membaik pulih dan berharap semua peneroka Felda bersabar serta bermuhasabah kerana turun naik harga kelapa sawit dan komoditi lain mengikut kitaran ekonomi global.
“Kerajaan pusat dan negeri sedang berusaha mencari alternatif yang boleh sedikit sebanyak meningkatkan sumber hasil peneroka Felda.
“Saya percaya dan yakin jika semua pihak mempunyai pemikiran yang positif, hati yang sabar dan seterusnya memberi kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda yang cuba menangani masalah yang timbul dengan secepat serta sebaik mungkin,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Daerah Maran di Masjid Jamek Felda Jengka 5 di sini hari ini.